Wednesday, May 4, 2022

Ilusi - Syawal 1443H

Tangisan Hati - Ilusi Tak Bertepi

... tak pernah lepas kau dalam ingatanku
... tak pernah bisa aku melupakanmu

dua syawal menjelang sudah
juga
dua pernama yang berlalu
pasrah akan rasa cinta
kerinduan hati yang menangis
menahan rasa terseksa
pasti

kuramas rasa itu
bersama teduhnya kehijauan pepohon laman
nyanyian rimba mendendang
kian meraba ilusi yang tak bertepi
kesamaran

lalu terpencar rasa hati
cintamu
mengapa singgah dihatiku
salah tempat dan waktu

andainya nanti
tewas dalam usia yang kian meninggi
pantaskah ku abaikan hati menangis?
menginginkanmu
sedang diri
tidak lagi mampu berdiri.





Monday, April 25, 2022

Hakikat ... kalaulah kau tahu

Hakikatnya aku memang ingin seperti sang camar yang terbang bebas di udara
meneroka pandangan pada lautan luas
tanpa memikirkan apa-apa
kecuali makanan dan kebebasan
tanpa belengu memberatkan fikiran

Hakikatnya aku sangat berterima kasih pada seorang wanita bergelar isteri
kerna dulu aku seorang yang teramat umbang ambing jiwanya
tidak dapat membezakan antara kotor dengan sampah
terkutip dengan penuh kasihan
sebab itulah sangat berterima kasih
tatkala hati ternoda parah
hingga kini masih begitu

Hakikatnya sayangku pada isteri begitu dalam sekali
atas pengorbanan serta kewalahan melayani keletahku
yang seperti tidak pernah dewasa akan kelakuan
terkunci dengan janji dan dendam
umpama mengejar bayang-bayang yang tak kunjung datang

Hakikatnya walau betapa hebat
darah pendekar Bugis membuak ayahanda
keramat titisan Sunan Kalijaga bonda
anakmu tetap sumbang dan tumbang
berteleku tanpa ampunan sedikitpun
pasrah dalam kekesalan

Hakikatnya kalau aku terus begini
maka memang kau amat memahami
sifatku semua berlandaskan kebenaran dan kejujuran
mungkin cuma jika kau keletihan isteriku
rehatlah

Pasti akan kuadukan pada Ilahi
agar membawaku pulang disisimu.


Seorang insan yang selalu kau leteri
hingga aku merasa seperti bayi





Monday, April 18, 2022

cinta sampai ke mati

Salam Ramadan 2022 ini

Mendengar melodi 'Cinta Sampai ke Mati'

Mereka bilang cinta itu tidak salah
malah benar kerana ia fitrah manusia
mahu disayang dan menyayangi

Lalu bolehlah...
mengapa harus disalahkan perkara yang betul
betulkan yang betul
betulkan yang salah

Lalu cinta sampai ke mati
walau bukan cinta syurga
kerana cinta tidak boleh
jadi tidak cinta.



Thursday, March 17, 2022

Mengertikah Aku

Bila melihat pelajarku kesakitan
tangis sendu
lantaran cedera buku lali
lalu memandang aku
seperti tiada rasa hati simpati

Tetapi anakku
cikgu bukan sahaja tahu kesakitan itu
malah menghadamnya
tanpa hati

Peristiwa 1

Melompat enam anak kambing
zassss jatuh
buku lali menghempas akar kayu
lalu memerih
menahan kesakitan
dan tika itu
tiada insan tersayang untuk kuceritakan
akan kesakitan yang kian jadi makanan
ku belai sendirian
melayan kesakitan dengan penuh perasaan
kesakitan itulah kasihku
terapilah sendirian

Peristiwa 2

beradu silat olahraga
sememangnya tidak mengira sakit lagi
kedua tangan menepis dan menumbuk
kedua kaki melangkah menendang
pasti tiada had ketahanan fizikal
sekujur tubuh benar-benar kebal
hanya kadar nadi menjadi penghalang
akan maju mundur
tetapi selepas itu...
kesakitanlah kutahan selama sebulan
kedua kaki membengkak
apatahlagi buku lali kananku
kesakitan itulah kasihku
terapilah sendirian

Peristiwa 3

Kali ini pula pasti tiga bulan pula
tika usia meningkat
dalam permainan bolasepak
merebut kaki pada bola
kaki lawan pula menendang kakiku
terguling-guling diri diperlaku begitu
tapi otot buku lali koyak lagi
sakitnya memerih
kutahan kuterus jua waktu itu
sehingga buku lali kananku memintaku
agar berhenti
kesakitan itulah kasihku
terapilah sendirian

Doa cikgu...
Moga dirimu juga kuat
menjadikan kesakitan itu kasihmu
berterapi sendirian
Allah sebagai panduan
kerana begitulah dunia permainan
menang dalam pertandingan

Maafkan cikgu...
kiranya tiada belas kasih terpapar pada wajah
ihsan yang tenggelam
bahkan cikgulah
antara mereka itu ... lebih pasti
akan rasa simpati
dan empati
akan kesakitanmu itu.

17 MAC 2022




Ilusi - Syawal 1443H

Tangisan Hati - Ilusi Tak Bertepi ... tak pernah lepas kau dalam ingatanku ... tak pernah bisa aku melupakanmu dua syawal menjelang sudah ju...